7 Perkara Ujian Psikometrik Wajib Anda Tahu Sebagai Calon

Ujian Psikometrik SPA – Saya pasti anda bakal menduduki ujian psikometrik kan? Sebelum anda menduduki ujian ini, ada beberapa perkara yang perlu anda tahu dahulu.

Ianya bertujuan agar anda jelas tentang apa itu sebenarnya ujian psikometrik dan apa yang diuji dalam ujian ini.

Pertama sekali, salam perkenalan daripada saya Cikgu Khairul. Tahniah saya ucapkan kerana anda telah melepasi tapisan pertama dalam sistem pengambilan pekerja sektor kerajaan

Apabila anda mendapat panggilan menduduki ujian psikometrik, itu bermaksud anda telah melepasi syarat-syarat minimum akademik yang ditetapkan oleh pihak SPA.

Apa Itu Ujian Psikometrik?

Sebenarnya, masih ramai calon ujian psikometrik tidak tahu apa tujuan sebenar ujian ini dijalankan. Kebanyakan mereka hanya fikir ujian ini hanyalah nak menguji kebolehan mereka dalam menilai sikap positif dan negatif.

Tapi betul ke tujuan ujian psikometrik macam tu?

Kurang tepat sebenarnya pemahaman macam tu. Ujian psikometrik adalah satu alat yang digunakan untuk mendapatkan data-data dari sudut sikap, pengetahuan, kompetensi, kemahiran serta personaliti calon-calon.

Daripada data-data ini, ianya akan dibentuk menjadi satu corak perwatakan.

Dengan corak perwatakan inilah bakal menentukan kesesuaian seseorang calon itu dengan jawatan. Jika ada banyak persamaan, calon itu akan diluluskan. Jika tak ada persamaan, mereka akan digagalkan.

Tujuan Ujian Psikometrik Dijalankan.

Disebabkan masih ramai yang tersilap faham seperti itu, saya kongsikan dua tujuan sebenar ujian ini dijalankan. Apa yang menariknya, dua tujuan sebenar ujian ini dijalankan sangat jauh menyimpang daripada apa difahami oleh calon-calon ujian sebelum ini.

1. Mengecilkan Jumlah Calon.

Sama seperti ujian-ujian online kerajaan yang lain, tujuan utama ujian ini dijalankan ialah untuk mengecilkan jumlah calon. Jika kekosongan jawatan ada 100 kekosongan, pihak SPA akan meluluskan 1,000 calon sahaja untuk ke peringkat seterusnya. 

Itu situasi yang mempunyai 100 kekosongan jawatan, bagaimana pula jika jawatan tu hanya ada 5 kekosongan? Ketika ini, pihak SPA hanya akan meluluskan 50 orang calon sahaja.

Baki calon yang selebihnya itu akan digagalkan di atas alasan tidak menepati ciri-ciri penilaian sesuatu jawatan.

Carta pai bawah ini merupakan statistik calon yang digagalkan pada ujian psikometrik sebelum ini. Secara purata, lebih 84 peratus calon digagalkan setiap kali keputusan ujian diumumkan.

2. Mencari Perwatakan Tertentu.

Selain daripada mengecilkan jumlah calon, ujian psikometrik ini juga berfungsi untuk mencari calon yang menepati ciri-ciri perwatakan sesuatu jawatan. 

Setiap jawatan memerlukan perwatakan yang tertentu disebabkan setiap jawatan ada skop tugasan tertentu. Maksudnya, perwatakan setiap jawatan akan berbeza-beza mengikut kepada skop tugasan jawatan itu.

Seandainya ketua jabatan mahukan seorang calon yang mempunyai sikap teliti, ketika ini ujian ini akan menjadi ‘penapis’ kepada sikap teliti. Hanya calon berperwatakan teliti sahaja akan berjaya melepasi tapisan ini.

Anda tahu tak bagaimana mana rupa soalan yang digunakan dalam mencungkil sikap teliti seseorang calon psikometrik? Di bawah ini merupakan soalan yang digunakan untuk mencungkil sikap teliti dalam diri seseorang calon.

Soalan 1: Apabila saya mendengar sesuatu berita, saya ingin mengetahui lebih lanjut, dari sumber berita tersebut.

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Tapi anda jangan salah faham! Ujian ini bukanlah nak mencari calon yang bersikap teliti semata-mata.

Ada banyak lagi sikap yang cuba dicungkil melalui ujian psikometrik ini. Semua sikap itu bergantung kepada apa yang dikehendaki oleh ketua jabatan. 

Ada ketua jabatan mahukan calon bersikap menepati masa, ada yang memerlukan calon yang ada semangat kerjasama secara berpasukan, ada yang memerlukan sikap sentimental kepada orang lain.

Di bawah ini merupakan soalan yang digunakan dalam mencungkil sikap menepati masa dalam seseorang calon.

Soalan 2: Saya merasa bersalah sekiranya tidak dapat hadir pada masa yang dijanjikan.

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Berapa Lama Masa Diperuntukan?

Jika dilihat kepada trend masa menjawab pada ujian-ujian sebelum ini, calon diberikan masa 1 jam 30 minit untuk menjawab soalan. Ujian akan bermula tepat pada pukul 9 pagi dan akan berakhir tepat pada pukul 5 petang.

Dalam tempoh masa 9 pagi hingga 5 petang itu anda perlu mencari masa yang bersesuai dengan kelapangan anda.

Kalau anda bermula pukul 9 pagi, masa anda akan tamat tepat pukul 10.30 pagi. Kalau anda bermula pukul 2.30 petang, masa anda akan tamat tepat pukul 4 petang.

Kalau seseorang calon tu jawab pukul 4.30 petang pula bagaimana? Adakah masanya akan tamat pada pukul 6 petang? Jawapannya, masa menjawab tetap akan tamat tepat pada pukul 5 petang.

Sistem akan log out secara automatik apabila jam tepat pukul 5 petang. Jadi calon tu hanya dapat menjawab soalan selama 30 minit sahaja.

Masa Menjawab Mempengaruhi Skor Tak?

Antara mitos dalam ujian psikometrik ialah calon percaya kalau jawab pukul 9 pagi, peluang untuk lulus akan lebih tinggi. Konon-kononnya pihak SPA akan nampak kesungguhan mereka.

“Kau kena jawab waktu pagi baru boleh lulus, kalau boleh pukul 9 pagi kau terus jawab, baru SPA nampak kesungguhan kau nak jawatan tu”

– kata Siti kepada Aminah.

Sebenarnya bukan macam tu. Kelonggaran masa untuk menjawab ini diberikan kerana pihak SPA menerima banyak rungutan daripada calon tentang masa. 

Tak semua calon ada masa free. Ada sesetengah calon ni bekerja dan tak boleh bagi komitmen untuk jawab ujian. Atas sebab itulah pihak SPA bagi kelonggaran masa untuk menjawab.

“Kau kena jawab secara pantas, baru SPA nampak keyakinan kau masa jawab soalan tu”

– kata Samad kepada Elica.

Ada sesetengah calon ujian percaya kalau jawab dengan pantas, peluang untuk lulus akan jadi semakin cerah. Sebenarnya bukan macam tu.

Ujian psikometrik bukanlah nak menguji ketangkasan seseorang. Jika ketangkasan itu satu keperluan, ianya tidak diuji dalam ujian psikometrik, tapi ianya diuji dalam ujian fizikal. 

Format Soalan

Dalam ujian psikometrik, anda diberikan soalan berbentuk objektif.

Jumlah soalan pula berapa, cikgu?

Jumlah soalan pula bergantung kepada set soalan. Pihak SPA ada banyak set soalan. Ada set 135, 154, 166 dan 199 soalan. Dan setiap set soalan mempunyai soalan yang berbeza-beza.

Anda boleh check jumlah soalan tu dekat emel yang SPA hantar. Dalam tu ada diberitahu berapakah jumlah soalan.

Pilihan Jawapan

Pilihan jawapan pula bergantung kepada jawatan dan gred jawatan. Ada sesetengah jawatan hanya diberikan dua pilihan jawapan. Ada sesetengah jawatan diberikan lima pilihan jawapan.

Dan ada sesetengah jawatan diberikan sampai tujuh pilihan jawapan. Contohnya seperti di bawah ini.

Soalan 3: Sabar dan tidak cerewet adalah tabiat saya.

  • Ya
  • Tidak

Soalan 4: Saya akan melakukan apa sahaja kerja untuk mendapatkan apa yang saya idamkan.

  • Setuju
  • Tidak Setuju

Soalan 5: Biasanya, saya tenang dalam bertindak balas terhadap situasi yang menimbulkan bahaya.

  • Sangat Tidak Menggambarkan Diri Saya
  • Tidak Menggambarkan Diri Saya
  • Agak Menggambarkan Diri Saya
  • Menggambarkan Diri Saya
  • Sangat Menggambarkan Diri Saya

Soalan 6: Sesekali saya akan melepaskan kemarahan kepada kerja bawahan saya apabila rasa tertekan.

  • Sangat Kerap
  • Kerap
  • Tidak Pasti
  • Kadang-Kadang
  • Tidak Pernah

Soalan 7: Setiap orang layak diberikan peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan mereka.

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Soalan 8: Pernahkah anda berasa sangsi tentang keupayaan hubungan romantik anda?

  • Sangat Tidak Setuju
  • Tidak Setuju
  • Kurang Setuju
  • Agak Setuju
  • Setuju
  • Sangat Setuju
  • Sangat Setuju Sekali

Soalan 9: Saya sedih apabila orang sekeliling melihat kekurangan saya.

  • Tidak Langsung
  • Amat Sangat

Soalan 10: Pernahkah anda mempunyai fikiran yang anda tidak mahu orang lain tahu?

  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • 6
  • 7

Nota: Untuk pilihan jawapan menggunakan skala nombor, pilihan jawapan 1 mewakili ‘tidak pernah langsung’, manakala pilihan jawapan 7 pula mewakili ‘amat sangat’.

Nak Pilih Macam Mana?

Antara soalan yang kerap ditanya kepada saya ialah adakah ujian ni kena pilih jawapan ‘Sangat Setuju’ dengan ‘Sangat Tidak Setuju’ sahaja?

Ada sesetengah calon menganggap jika pilih jawapan ditengah-tengah, seperti ‘Setuju’ atau ‘Tidak Setuju’ itu bermaksud mereka ni kurang keyakinan.

Betul ke macam tu?

Tanggapan salah.

Ini juga mitos yang ramai calon psikometrik percaya. Ujian ini sifatnya bebas. Anda bebas nak pilih jawapan apa sekalipun selagi mana jawapan tu mencerminkan perwatakan sebenar anda.

Sebetulnya.

Pilihan jawapan tu hanyalah skala untuk mewakili pendapat anda sahaja. Bukannya pendapat anda terhadap diri orang lain, tapi pendapat anda terhadap diri anda sendiri.

Jadi jawapan yang terbaik ada pada diri anda sendiri. Kerana hanya anda sahaja yang kenal dengan diri anda sendiri.

Seandainya betul lah dakwaan mitos ini, penting sangat ke tahap keyakinan tu sehinggakan pihak SPA nak uji dalam setiap soalan?

Ujian ini bukannya nak uji tahap keyakinan semata-mata, ada berpuluh-puluh lagi sikap nak dicungkil dalam ujian ini.

Contohnya sikap integriti, kejujuran, tanggungjawab, bertimbang rasa, amanah dan lain-lain. Kalau diikutkan, integriti lah yang paling patut diutamakan.

Tapi kenapa pihak SPA beriya sangat nak uji sikap keyakinan tu? Sampai wajib tonjolkan keyakinan tu dalam setiap jawapan? Kan pelik tu.

Jika sesuatu pernyataan itu tidak menggambarkan diri anda, anda berhak untuk memilih jawapan ‘tidak pasti’ ataupun ‘kadang-kadang’ ataupun ‘tidak pernah.

Ada ramai calon yang lulus beritahu kepada saya, mereka memilih jawapan ‘tidak pasti’ bagi pernyataan yang tidak menggambarkan diri mereka.

Ada Soalan Matematik Tak?

Untuk menjawab soalan ini, jom saya ceritakan sikit masa awal-awal ujian psikometrik dulu. Pada masa tu, ujian psikometrik ini merangkumi soalan personaliti diri dan soalan matematik.

Sejak awal tahun 2020, soalan matematik dah digugurkan dalam ujian ini. Pihak SPA tidak pernah bagitahu yang mereka dah gugurkan soalan matematik ni.

Saya tahu pun berdasarkan kepada maklum balas calon. Ramai calon seronok bila soalan matematik ni digugurkan. Ye la kan, soalan matematik ni perlu ingat banyak formula.

Tapi isunya sekarang, adakah ujian akan datang pun tak ada soalan matematik? Kalau tengok kepada trend soalan psikometrik sejak tahun 2020, ya memang soalan matematik dah tak ditanya.

Soalan matematik ujian psikometrik berlainan sikit dengan soalan matematik biasa. Cuba tengok contoh soalan matematik ni.

Soalan 11: Berapakah nilai hasil tambah bagi nilai digit 6 dan nilai digit 4 dalam 65,489 dan 6% daripada hasil tambah itu.

  • 2,340
  • 3,730
  • 2,700
  • 3,624

Adakah Ujian Psikometrik Ada Markah Lulus?

Ini merupakan soalan yang kerap ditanyakan kepada saya setiap kali adanya panggilan ujian psikometrik.

“Cikgu, ujian psikometrik ni kena skor berapa soalan kalau nak lulus?”

– tanya calon psikometrik kepada saya.

Kalau anda nak tahu, ujian psikometrik ini tidak ada markah lulus. Contohnya kena skor 80 peratus baru dikira lulus. Ujian psikometrik tidak dinilai seperti itu.

Ramai calon tersalah faham tentang markah lulus ujian ini. Mereka anggap ujian psikometrik ini sama dengan ujian matematik, perlu skor 80 peratus baru dianggap lulus.

Yang sebetulnya, lulus atau gagal ujian psikometrik ini dinilai berdasarkan kepada sejauh mana perwatakan seseorang itu dapat memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh ketua jabatan.

Anda tahu tak bagaimana perwatakan ini dibentuk?

Ianya dibentuk melalui jawapan yang anda pilih dalam ujian. Jawapan anda itu digunakan sebagai data untuk membentuk satu profil personaliti.

Jika anda ada kecenderungan ke arah teliti, jawapan yang anda pilih nanti bakal membentuk satu profil yang tinggi ketelitian. Jika anda cuai pula, jawapan anda nanti pun bakal membentuk profil kecuaian.

Di bawah ini merupakan soalan yang digunakan untuk mencungkil sikap kecuaian dari dalam seseorang calon ujian.

Soalan 12: Walaupun meja kerja saya berselerak tetapi saya tahu dimana saya meletakkan barang saya.

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Bagaimana Nak Lulus Ujian Psikometrik?

Sudah pasti setiap calon yang dipanggil menduduki ujian psikometrik mahu lulus kan? Tapi tak semudah itu.

Mengikut statistik ujian sebelum ini, kurang daripada 16 peratus sahaja calon akan diluluskan setiap kali keputusan ujian diumumkan.

Jadi, bagaimana nak lulus ujian psikometrik ini?

Apa Tips Lulus Ujian Psikometrik?

Nak lulus ujian ini, anda perlu tahu bagaimana ujian ini berfungsi. Ujian ini digunakan oleh pihak SPA untuk mencari calon yang betul-betul mempunyai sikap yang diperlukan dalam satu-satu jawatan.

Jadi sebagai calon, anda perlu jelas dahulu adakah sesuatu jawatan itu sesuai dengan perwatakan anda ataupun tidak. Tidak semua calon yang dipanggil ini layak untuk menjawat sesuatu jawatan.

Panggilan untuk menduduki ujian psikometrik hanyalah ditapis melalui keputusan akademik sahaja, bukannya dinilai melalui perwatakan.

Dalam menentukan adakah perwatakan seseorang calon itu betul-betul layak ataupun tidak, ketika ini ujian psikometrik digunakan. Kalau pihak SPA nak tentukan kelayakan akademik, mereka boleh merujuk sijil SPM.

Tapi bagaimana pula pihak SPA nak tahu perwatakan seseorang calon? Mereka nak merujuk kepada sijil apa? Atas sebab itulah ujian ini dijalankan, iaitu bertujuan untuk mendapatkan data-data personaliti calon.

Artikel Berkaitan: Empat Tips Lulus Ujian Psikometrik

Perkara Apa Diuji Dalam Ujian Psikometrik?

Percaya ataupun tidak, ramai calon psikometrik percaya ujian ini digunakan untuk mencungkil sikap negatif dalam diri mereka. Mereka juga percaya jika tonjolkan sikap negatif ini akan menjadi faktor terbesar untuk mereka gagal ujian ini.

Tapi, sejauh mana kebenaran itu? Sebab pihak SPA sendiri pun tak pernah beritahu tentang skop penilaian ujian ini berdasarkan sikap positif.

Positif Pun Boleh Gagal.

Hasil maklum balas daripada calon psikometrik sebelum ini, terdapat ramai calon yang jawab secara positif gagal ujian ini.

“Cikgu.. sebab apa saya gagal cikgu? Saya dah jawab sebaik mungkin dah cikgu..”

– tanya calon psikometrik kepada saya.

Untuk pengetahuan anda, ujian ini bukanlah nak mencungkil kebolehan calon menilai sikap positif atau negatif. Tapi ianya berfungsi untuk mendapatkan data-data personaliti dalam diri seorang calon sahaja, tak lebih daripada itu.

Dalam ayat mudah faham, pihak SPA cuba nak mengenali diri anda. Mereka nak tahu bagaimana perangai dan minat anda yang sebenarnya.

Antara data-data personaliti yang cuba dicungkil ialah bagaimana seseorang itu berfikir, bagaimana seseorang itu buat keputusan, dan bagaimana seseorang itu bertindak.

Jika anda hanya fokus jawab secara positif, itu bermaksud jawapan anda tidak mencerminkan perwatakan anda yang sebenar. Maka corak perwatakan anda akan menjadi bercelaru disebabkan wujudnya percanggahan pendirian dalam setiap jawapan.

Soalan Cungkil Cara Berfikir.

Lima soalan di bawah ini pernah ditanya pada ujian psikometrik sebelum ini untuk mencungkil bagaimana seseorang itu berfikir.

Soalan 13: Saya ingin mengetahui apa yang akan berlaku kepada kepompong rama-rama.

  • Sangat Kerap
  • Kerap
  • Tidak Pasti
  • Kadang-Kadang
  • Tidak Pernah

Soalan 14: Saya tidak perlu mencari pelbagai kemungkinan untuk menyelesaikan masalah.

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Soalan 15: Dalam penyelesaikan masalah, saya memberi banyak idea berbandingkan orang lain.

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Soalan 16: Seandainya saya seorang guru, saya lebih gemar mengajar subjek berasaskan fakta berbanding subjek berasaskan teori.

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Soalan 17: Saya lebih suka berkawan dengan individu yang sentiasa mempunyai idea baharu berbanding individu yang berpendirian realistik.

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Jika soalan-soalan ini ditanyakan kepada anda, apakah jawapan yang anda akan pilih? Pastikan jawapan yang mencerminkan perwatakan anda yang sebenar.

Apa pun jawapan anda nanti, ianya tiada salah ataupun betul. Setiap individu ada jawapan mereka masing-masing disebabkan wujudnya perbezaan perwatakan antara mereka.

Soalan nak mencungkil bagaimana seseorang itu buat keputusan pula macam mana? Saya ada kongsikan lima kategori penilaian soalan ujian psikometrik dalam artikel di bawah. Klik link untuk mengetahui lebih lanjut.

Artikel Berkaitan: Lima Kategori Penilaian Soalan Ujian Psikometrik.

Satu Jawatan Lulus, Satu Lagi Jawatan Gagal

Seperti yang dilalui oleh calon psikometrik ini, Mr Fitri. Dia dapat dua panggilan ujian psikometrik untuk dua jawatan yang berbeza. Satu jawatan pembantu arkib, dan satu jawatan lagi pegawai penjara. 

Kedua-dua jawatan ini gred 19. Bila keputusan ujian diumumkan, ujian pembantu arkib dia gagal, tapi ujian pegawai penjara dia lulus.

Persoalannya sekarang, kenapa boleh jadi satu ujian lulus dan satu lagi ujian gagal? Sedangkan soalan ujian semuanya sama. Jawapan dia bagi pun sama.

Kalau anda nak tahu, ianya disebabkan oleh perwatakan. Dia lulus ujian pegawai penjara disebabkan dia mempunyai perwatakan yang dikehendaki oleh ketua jabatan penjara.

Dia gagal ujian pembantu arkib pula disebabkan dia tak ada perwatakan yang diperlukan oleh ketua jabatan arkib negara.

Berapa Lama Tempoh Keputusan Diumumkan?

Tempoh masa keputusan ujian ni diumumkan bergantung sepenuhnya kepada kesegeraan jawatan itu perlu diisi. Kalau jawatan tu perlu diisi dengan segera, maka akan cepat tempoh untuk keputusan ujian diumumkan. 

Kerana ada sesetengah jawatan perlu diisi dengan segera di atas sebab-sebab tertentu.

Kalau situasi ini berlaku, dalam masa seminggu pihak SPA akan umumkan keputusan ujian. Sekiranya sesuatu jawatan tu tiada keperluan untuk diisi dengan segera, paling cepat pun akan mengambil masa dua minggu sehingga empat minggu.

Maklumat Tambahan

Sekiranya anda menghadapi masalah semasa menjawab ujian psikometrik nanti, sila pastikan anda log out dahulu daripada sistem. Sekiranya anda tidak log out, masa ujian akan tetap berjalan walaupun anda dah tutup browser.

Berdasarkan kepada feedback calon sebelum ini, ada beberapa calon skrin laptop mereka jadi freeze ketika sedang jawab ujian. Klik butang seterusnya pun tak jadi apa.

Ketika ini, apa yang perlu anda lakukan ialah cuba log out dahulu daripada sistem. Apabila anda log out, masa akan dihentikan. Nanti anda boleh minta bantuan daripada pegawai yang bertanggungjawab untuk selesaikan masalah anda ini.

Setelah masalah selesai, anda boleh log in untuk sambung balik jawab ujian seperti biasa. Contohnya, jika anda log out daripada sistem pada minit ke 20, apabila anda log in balik, masa anda akan bermula pada minit ke 20.

Akhir Kalam.

Akhir kata, saya harap dengan perkongsian tentang ujian psikometrik SPA ini, akan dapat membuka mata anda terhadap realiti sebenar ujian ini. 

Saya doakan agar anda lulus ujian ini dan dapat menjawat jawatan yang anda impikan selama ini. Aamiinn..

Pss.. Anda dah tengok koleksi 200 soalan psikometrik dan huraian jawapan? Sila klik butang di bawah untuk baca.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *