“Betul ke cikgu pihak SPA cakap soalan psikometrik ni tak ada jawapan salah atau betul? Tapi saya pelik, macam mana boleh wujud status calon lulus dan calon gagal kalau jawapan tak ada salah betul. Pihak SPA nilai macam mana sebenarnya ujian ni?”
– calon psikometrik.
Ada Dua Perspektif.
Untuk menjawab soalan ini, saya akan terangkan daripada dua perspektif. Pertama dari perspektif calon, yang kedua pula dari perspektif pihak SPA.
Dari Perspektif Calon.
Daripada perspektif calon, memang tak ada jawapan salah ataupun betul. Ini disebabkan setiap jawapan calon itu hanyalah pendapat mereka sendiri.
Contohnya soalan di bawah ini:
Soalan 1: Saya berupaya memotivasikan orang lain untuk menerima perubahan.
A. Sangat Setuju
B. Setuju
C. Tidak setuju
D. Sangat tidak setuju
Tujuan soalan ini ditanya adalah untuk mencungkil tahap extravertion dalam diri seseorang calon. Nak tahu seseorang calon itu cenderung ke arah introvert ataupun extrovert.
Golongan extravertion skor tinggi ataupun extrovert selalunya mahir dalam komunikasi dan berupaya mempengaruhi orang lain dengan kata-kata mereka.
Jawapan tidak ada salah ataupun betul disebabkan pihak SPA tak boleh nak sahkan jawapan calon. Jika seseorang calon memilih jawapan ‘sangat setuju’, itu bermaksud dia cenderung ke arah extrovert.
Persoalannya sekarang, adakah betul sifat sebenar calon itu cenderung ke arah extrovert? Ataupun calon itu cuba memanipulasi jawapan dia?
Pihak SPA tak kenal pun perangai calon yang sebenar. Atas sebab itulah jawapan calon dianggap tak ada salah dan betul.
Dari Perspektif SPA.
Daripada perspektif pihak SPA pula, ya memang jawapan ada salah ataupun betul. Sebab itu ada status calon lulus dan ada calon gagal dalam ujian ini.
Sebenarnya dalam ujian psikometrik, frasa ‘salah’ atau ‘betul’ tu kurang tepat. Frasa yang paling tepat untuk ujian ini ialah jawapan menepati kriteria atau tidak menepati kriteria pihak SPA.
Ini disebabkan setiap jawatan ada kriteria mereka tersendiri. Ada jawatan memerlukan pemberat yang tinggi ke arah sikap kerjasama, ada pemberat ke arah sikap berdikari, ada pemberat ke arah sifat empati, ada pemberat ke arah sifat tegas, dan lain-lain.
Jawapan ‘salah’ pula akan terjadi apabila jawapan calon tidak mencerminkan sikap yang dikehendaki oleh pihak SPA.
Contoh Soalan.
Soalan 2: Saya akan mempertahankan keputusan yang saya pilih walaupun ada rakan yang membantah.
A. Sangat Setuju
B. Setuju
C. Tidak setuju
D. Sangat tidak setuju
Soalan ini cuba mencungkil kecenderungan suka akan persaingan dan juga sifat ketegasan. Individu yang ada kecenderungan ke arah personaliti ini lebih memberat untuk bersetuju dengan soalan ini.
Tapi berlainan pula dengan individu yang mempunyai kecenderungan empati yang tinggi. Mereka lebih memilih untuk mempertimbangkan setiap cadangan daripada perspektif orang lain.
Persoalannya sekarang, adakah salah untuk mempunyai sifat persaingan dan yakin dengan keputusan sendiri. Dan adakah salah untuk lebih empati dan mempertimbangkan setiap keputusan melalui perspektif orang lain?
Soalan Menjadi Dilema.
Inilah yang menjadi dilema pada setiap calon psikometrik. Mereka tak tahu nak memilih jawapan. Semua jawapan nampak positif.
Sebenarnya, soalan ini bukanlah nak tahu jawapan mana paling positif. Tapi soalan ini hanya nak tahu calon ini cenderung ke arah mana sahaja.
Sekiranya ketua jabatan mahukan seorang calon yang mempunyai tahap persaingan yang tinggi, ketika ini, jawapan ‘setuju’ adalah jawapan yang ‘betul’. Jawapan ‘tidak setuju’ pula jawapan yang ‘salah’.
Sebaliknya, jika ketua jabatan mahukan seorang calon yang mempunyai tahap empati yang tinggi, jawapan ‘tidak setuju’ pula menjadi jawapan yang ‘betul’. Jawapan ‘setuju’ pula menjadi jawapan yang ‘salah’.
Belajar Sesuatu?
Adakah anda belajar sesuatu daripada artikel ini? Mahukan lagi soalan dan ulasan jawapan seperti ini? Sila klik butang di bawah untuk download.