Apa Maksud Jawapan Konsisten Dalam Ujian Psikometrik?

Ramai calon ujian psikometrik menyangka bahawa jawapan konsisten bermaksud jawapan perlu positif semua dan perlu menghasilkan skor yang tinggi.

Tapi… betul ke anggapan macam tu?

Jom cikgu terangkan apakah sebenarnya maksud konsisten dalam ujian psikometrik.

Fokus Pada Satu Dimensi

Untuk contoh kali ini, saya akan gunakan satu dimensi sahaja, iaitu extraversi.

Dalam dimensi extraversi, terdapat tiga kategori utama:

  • Skor rendah: dikenali sebagai introvert.
  • Skor sederhana: dikenali sebagai ambivert.
  • Skor tinggi: dikenali sebagai extrovert.

Di bawah ini merupakan skala dalam menentukan kecenderungan karakter seseorang.

Contoh 4 Individu & Hasil Simulasi Mereka

Berikut adalah skor berdasarkan simulasi psikometrik yang telah dijawab oleh empat individu:

Ali

SimulasiPeratusan, %Kecenderungan
Kali pertama35Rendah
Kali kedua23Rendah
Kali ketiga29Rendah

Abu

SimulasiPeratusan, %Kecenderungan
Kali pertama57Sederhana
Kali kedua49Sederhana
Kali ketiga42Sederhana

Aisyah

SimulasiPeratusan, %Kecenderungan
Kali pertama80Tinggi
Kali kedua77Tinggi
Kali ketiga64Tinggi

Razali

SimulasiPeratusan, %Kecenderungan
Kali pertama50Sederhana
Kali kedua35Rendah
Kali ketiga86Tinggi

Rumusan daripada skor di atas:

  • Jawapan Ali konsisten ke arah introvert.
  • Jawapan Abu konsisten ke arah ambivert.
  • Jawapan Aisyah konsisten ke arah extrovert.
  • Jawapan Razali pula tak konsisten. Sekejap introvert, sekejap extrovert.

Apa Maksud Jawapan Konsisten Sebenarnya?

Secara mudahnya, jawapan konsisten bermaksud seseorang individu menunjukkan kecenderungan karakter yang sama setiap kali mereka menjawab ujian.

Ia melambangkan jawapan yang stabil, tidak bercelaru, dan mencerminkan keperibadian sebenar.

Contoh Soalan

Soalan: Saya akan cuba bertegur sapa dengan ramai tetamu sekiranya menghadiri sesuatu majlis.

  • Setuju
  • Tidak setuju

Soalan ini merupakan antara soalan yang sering digunakan dalam ujian psikometrik untuk menilai kecenderungan karakter extrovert dalam diri seseorang.

Jika anda memilih jawapan ‘setuju’, ini menunjukkan anda mempunyai salah satu ciri yang dikaitkan dengan extrovert, iaitu selesa berinteraksi dengan orang ramai.

Tapi… adakah itu bermaksud anda boleh dilabelkan sebagai seorang extrovert?

Jawapan: tidak semestinya.

Dalam ujian psikometrik, satu soalan sahaja tidak mencukupi untuk menentukan karakter seseorang secara keseluruhan.

Sebagai contoh, jika satu set ujian mengandungi 40 soalan berkaitan extraversi, dan anda hanya setuju dengan satu daripadanya, itu belum cukup untuk melabel anda sebagai extrovert.

Watak atau profil personaliti dibentuk berdasarkan corak keseluruhan jawapan.

Kalau anda setuju dengan 35 daripada 40 soalan extraversi, barulah boleh dikatakan anda benar-benar cenderung ke arah extrovert.

Salah Faham

“Saya perlu jadi extrovert ke baru ada peluang nak lulus dalam ujian ini, cikgu?”

Ramai juga beranggapan, kalau nak lulus dalam ujian psikometrik, jawapan perlu cenderung ke arah extrovert. Katanya, extrovert ini paling positif, paling terbaik.

Ish.. ish..

Sebenarnya, ini antara salah faham terbesar dalam ujian psikometrik.

Hakikatnya, golongan extrovert pun manusia biasa jugak. Mereka pun ada kelemahan tersendiri, sama seperti golongan introvert.

Apakah Kelemahan Extrovert?

Salah satu kelemahan utama individu extrovert ialah kebergantungan mereka kepada interaksi sosial. Tanpa rangsangan sosial, mereka cenderung untuk:

  • Cepat berasa letih dan bosan.
  • Hilang semangat.
  • Kurang produktif.

Ini disebabkan sumber tenaga utama extrovert datang daripada persekitaran sosial dan interaksi dengan orang lain. Apabila suasana kurang bersosial, prestasi mereka mungkin terjejas.

Jawapan Tak Sesuai Dengan Jawatan?

Jika sesuatu jawatan tidak memerlukan interaksi sosial yang tinggi, tetapi jawapan calon pula menunjukkan profil extraversi yang tinggi, ini boleh menjadi penyebab calon digagalkan dalam ujian psikometrik.

Bukan kerana jawapan mereka tidak cukup ‘positif’, tetapi kerana personaliti yang terbentuk tidak selari dengan keperluan jawatan.

Karakter Sangat Penting!

Kecenderungan karakter adalah perkara penting dalam ujian psikometrik. Perkara inilah yang bakal menentukan sama ada anda boleh lulus atau gagal dalam ujian ini.

  • Jika introvert diperlukan, golongan ambivert dan extrovert pula akan digagalkan.
  • Jika ambivert diperlukan, golongan introvert dan extrovert pula akan digagalkan.
  • Jika extrovert diperlukan, golongan introvert dan ambivert pula akan digagalkan.

Persoalannya sekarang, ke arah manakah jawapan anda akan membentuk kecenderungan karakter?

Nak Tahu Karakter Anda Sendiri?

Kategori extraversi merupakan salah satu daripada lima kategori yang diuji dalam ujian psikometrik. Kalau anda nak tahu karakter anda cenderung ke arah mana, anda boleh cuba jawab simulasi psikometrik terlebih dahulu.

Barulah anda nampak dengan lebih jelas kecenderungan sebenar berdasarkan pilihan jawapan anda sendiri.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site is protected by reCAPTCHA and the Google Privacy Policy and Terms of Service apply.

The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.